Tasik Galilea juga dikenali sebagai “Tasik Tiberias” dan “Tasik Kineret”. Tasik ini kira-kira 200 meter di bawah paras laut dan dikelilingi oleh gunung-gunung. Apabila angin sejuk turun dari lembah-lembah gunung dan bertemu dengan angin panas di tasik, taufan timbul dan menyebabkan angin kuat dan ombak besar. Pada suatu petang, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya menyeberang tasik dengan perahu. Tiba-tiba taufan datang. Pengikut-pengikut itu sangat takut, walaupun beberapa orang antara mereka ialah nelayan yang mahir. Apakah yang ditakuti mereka? Marilah memikirkan hal ini. Apabila perahu dipukul oleh ombak besar dan dipenuhi air, apakah yang akan terjadi? Jika perahu itu tenggelam, apakah bahaya yang dihadapi oleh pengikut-pengikut itu?

Yesus dan pengikut-pengikut-Nya berada di dalam perahu. Nyawa mereka dalam bahaya, tetapi tindak balas mereka berlainan. Yesus tidak dipengaruhi oleh taufan dan ombak. Sebenarnya, Dia sedang tidur nyenyak. Oleh sebab pengikut-pengikut berfikir bahawa perahu akan tenggelam, mereka cemas. Mereka lupa bahawa Yesus ialah Anak Tuhan dan menguasai alam semula jadi. Mereka juga lupa untuk percaya kepada-Nya. Sebaliknya, mereka menuduh Dia tidak mempedulikan mereka. Bagaimanapun, Yesus ada dengan mereka di dalam perahu dan tidak meninggalkan mereka. Dia tinggal bersama-sama mereka pada masa susah dan senang, dan Dia menggunakan kuasa-Nya untuk meredakan angin kuat. Yesus mempedulikan mereka! Begitu juga Yesus mempedulikan kita. Apabila kita berada dalam bahaya dan ketakutan, kita perlu percaya kepada-Nya.

MY CART
You have no items in your shopping cart.