Yerikho dipanggil Kota Pokok Kurma. Tanahnya subur dan menghasilkan tanaman yang banyak kerana bekalan airnya cukup. Kota itu juga pusat pembayaran cukai dan lain-lain. Zakheus ialah pemungut cukai di kota itu. Dia menggunakan kedudukannya untuk menipu orang dan mendapat banyak sekali wang.
Pada masa itu, orang Yahudi tidak suka pemungut cukai. Ini kerana pemungut cukai bukan sahaja menipu orang sebangsanya dengan membantu pemerintah Roma memungut cukai, mereka juga memungut cukai yang berlebihan. Biasanya mereka akan mengambil wang lebih itu untuk diri sendiri. Ada juga orang Yahudi yang tidak mahu makan bersama mereka dan menganggap mereka orang berdosa. Tidak hairanlah orang merungut apabila Yesus berkata Dia akan pergi ke rumah orang berdosa, iaitu rumah Zakheus.
Mungkin Zakheus pernah mendengar bahawa Yesus menyambut pemungut cukai dan orang berdosa. Oleh itu, apabila dia tahu Yesus akan melalui kota Yerikho, dia mahu berjumpa orang yang luar biasa itu. Dia tidak pernah mengenali Yesus. Dia pun tidak sangka Yesus akan memanggil namanya dan pergi ke rumahnya.
Yesus datang ke dunia ini untuk mencari orang berdosa dan menyelamatkan mereka. Dia mengasihi Zakheus dan mahu mendekatinya. Yesus tidak mengambil peduli rungutan orang lain. Kerana Yesus mengasihi Zakheus, hati Zakheus mengalami perubahan yang besar.