Pegawai Yang Tidak Mahu Mengampuni Orang

Pada suatu hari, Petrus bertanya kepada Yesus sama ada cukup untuk mengampuni orang yang bersalah kepadanya, sehingga 7 kali. Menurut ajaran Yahudi, sudah cukup untuk mengampuni orang sehingga empat kali. Kerana itu, Petrus berfikir bahawa mengampuni sehingga 7 kali sudah sangat baik.
Bagaimanapun, Yesus memberitahu Petrus bahawa dia harus sungguh-sungguh mengampuni orang lain dengan sepenuh hati.

Kemudian Yesus menceritakan sebuah perumpamaan untuk menerangkan erti mengampuni.

Seorang pegawai berhutang sehingga berjuta-juta ringgit kepada raja. Hutang itu sangat banyak sehingga dia memang tidak dapat membayarnya. Lalu dia memohon belas kasihan raja, dan raja pun mengasihani dia dan menghapuskan hutangnya.

Selepas itu, pegawai yang jahat itu bertemu dengan pegawai lain yang berhutang beberapa ringgit sahaja dengan dia, mungkin sebanyak gaji untuk kira-kira seratus hari bekerja pada masa itu. Bagaimanapun, hutang itu sedikit berbanding hutangnya yang berjuta-juta dengan raja. Pegawai yang jahat itu baru saja dikasihani oleh raja. Tetapi dia pula tidak mengampuni pegawai lain yang berhutang beberapa ringgit saja dengan dia. Bahkan dia memasukkan pegawai itu ke dalam penjara.

Kerana itu, raja sangat marah apabila dia mendengar tentang hal itu. Raja tidak mahu lagi mengampuni pegawai yang jahat itu.

Tuhan mengampunkan kesalahan kita yang banyak kerana kasih, rahmat, dan belas kasihan-Nya sangat besar. Oleh itu, kita pun harus mengampuni orang dengan sepenuh hati dan bermurah hati terhadap orang yang bersalah kepada kita. Jika kita tidak mengampuni orang lain, Tuhan pun tidak akan mengampuni kita.